18 February 2014

Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN)

Alhamdulillah, sejak 2 Januari 2014 saya telah bertukar bahagian iaitu dari Bahagian Pembangunan Luar Bandar ke Bahagian Pengurusan Tanah.  Setelah 3 tahun menguruskan pembangunan fizikal daerah yang melibatkan pelbagai skop projek seperti bina baru, baik pulih dan naik taraf serta lain-lain tugasan akhirnya saya berpeluang menimba pengalaman baru sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Unit Pendaftaran Tanah.

Memandangkan tugasan di Unit Pendaftaran Tanah melibatkan hal-hal pentadbiran dan perundangan maka saya disarankan mengikuti kursus yang berkaitan di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).  Seperti sudah sedia maklum JPA rupa-rupanya telah menyenaraikan nama saya untuk menghadiri Kursus Khas Perundangan Tanah Bagi Pentadbir Tanah di INSTUN pada 18 - 28 Februari 2014.  Saya akan kongsikan pengalaman kursus ini dalam Diari PTD, InShaaAllah, dan sebelum itu sedikit pengenalan tentang INSTUN yang terletak di Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan ini.

SEJARAH PENUBUHAN
Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ditubuhkan pada 1 Mei 1998, berikutan arahan daripada Jemaah Menteri pada 9 Julai 1997. Pada ketika itu, INSTUN terletak di bawah Pengurusan Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (KTPK). Dengan tertubuhnya institut ini, maka tugas melatih yang duhulunya dijalankan oleh Seksyen Latihan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JJKPTG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dikendalikan sepenuhnya oleh INSTUN.
           
Pada tahun 2004, INSTUN diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). INSTUN merupakan satu-satunya institusi latihan tunggal di Malaysia yang telah diberi mandat serta tanggungjawab untuk melatih kakitangan yang terlibat dalam urusan pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan.

VISI
Visi Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ialah ke arah institut latihan bertaraf dunia dalam bidang Pentadbiran Tanah, Ukur dan Pemetaan serta Teknologi Maklumat yang berkaitan.

MISI
Misi Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ialah untuk memaju dan membangunkan modal insan serta mewujudkan masyarakat berpengatahuan dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat melalui program latihan yang komprehensif, sistematik dan berkualiti serta penyediaan bahan rujukan untuk masyarakat umum.

DASAR
Dasar Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN) ialah mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran perkhidmatan awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan selaras dengan fungsi perkembangan teknologi terkini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

OBJEKTIF
Objektif Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ialah untuk meningkatkan kompetensi modal insan dalam Pentadbiran Tanah, Ukur dan Pemetaan serta Teknologi Maklumat melalui latihan yang sistematik dan terancang.

MOTO
"Mendahului Cabaran"


No comments:

Post a Comment

"Ramai orang takut menyuarakan keinginan mereka jadi mereka tidak pernah dapat apa yang mereka inginkan." (Madonna)