27 January 2014

Tips: Cegah Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Saat entri ini ditulis saya percaya kita semua sudah sedia maklum tentang kes pembunuhan kanak-kanak bernama Nur Syafiqah Abdullah yang dilaporkan berlaku di sebuah tapak projek perumahan di Paka, Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Mangsa dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan dalam keadaan terbaring dengan pakaiannya terselak sehingga menampakkan kemaluan dan darah yang dipercayai berpunca dari kecederaan rogol memenuhi tempat kejadian.

Terkini pihak polis telah berjaya menahan beberapa individu yang dipercayai akan membawa kepada penyelesaian kes.  Mereka termasuklah ibu kandung kepada kanak-kanak itu sendiri, teman lelaki wanita berkenaan dan beberapa individu lain.  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memaklumkan bahawa semua yang ditahan merupakan penagih dan pengedar dadah.  Ayah kandung mangsa pula dipercayai tidak terlibat kerana sedang menjalani hukuman di dalam penjara.
 
__________________________________________________________________________________

Cabaran menjaga dan mendidik kanak-kanak pada zaman ini tidak lagi sama dengan zaman dahulu.  Jika pada sekitar tahun 1980an dan 1990an ibu bapa boleh melepaskan kanak-kanak bermain bebas di sekitar kampung atau taman permainan tanpa dipantau.  Tetapi pada zaman ini kanak-kanak yang berada dalam dakapan ibu bapa sekalipun tidak terlepas daripada menjadi mangsa culik atau jenayah-jenayah lain.  Sehubungan itu, ibu bapa / penjaga kanak-kanak dinasihatkan supaya mendidik kanak-kanak mengenai risiko-risiko keselamatan dan cara-cara untuk mengatasinya.

KAEDAH MENDIDIK KANAK-KANAK TENTANG KESELAMATAN
  1. Bercakap dengan perlahan dan tenang.  Jangan paksa kanak-kanak untuk mendengar kerana mereka akan menjadi takut untuk bertanya soalan dan tidak dapat menyerap maklumat yang ingin disampaikan - lebih buruk lagi mereka akan takut untuk bercerita kepada anda jika sesuatu kejadian berlaku kepada mereka!   
  2. Ceritakan tentang taktik penjenayah.  Kongsikan dengan kanak-kanak tentang taktik-taktik yang sering digunakan oleh penjenayah untuk memerangkap mereka seperti mengumpan dengan gula-gula atau berpura-pura bertanyakan arah jalan.  Maklumkan bahawa mereka perlu meminta izin daripada ibu bapa terlebih dahulu jika ingin menerima pemberian seseorang atau jika ada orang ingin bertanyakan sesuatu, mereka hanya boleh bertanya kepada ibu bapa.
  3. Didik kanak-kanak berkata "TIDAK" dan lari jika mereka berasa tidak selesa atau terancam dengan seseorang - walaupun orang itu ahli keluarga sendiri, rakan, jiran atau guru di sekolah.
  4. Lakonkan situasi sebenar bersama kanak-kanak.  Ajar mereka tentang perkara yang perlu diucapkan dan dilakukan jika sesuatu situasi berlaku seperti "seseorang datang mengambil mereka di sekolah", "seseorang datang ke rumah untuk membaiki kerosakan paip" atau "seseorang mengajak mereka bermain tanpa ditemani ibu bapa".
  5. Kenalkan bahagian badan yang tidak boleh disentuh.  Kakak-kanak seharusnya tahu dada dan bahagian sulit mereka tidak boleh disentuh oleh sesiapa dan mereka juga tidak boleh menyentuh bahagian sulit orang lain - walaupun ketika bermain.
  6. Sentiasa berkongsi maklumat dengan kanak-kanak kerana cabaran akan semakin berubah semakin mereka meningkat dewasa.  Kanak-kanak perempuan terdedah pada godaan cinta atau laman sosial manakala kanak-kanak lelaki pula terdedah pada pengaruh rakan sebaya dan laman web pornografi.

SENTIASA BERJAGA-JAGA
  • Ambil peluang untuk mengetahui tentang latar belakang rakan sepermainan kanak-kanak dan siapa keluarga mereka.  Wujudkan perbualan dengan dengan rakan sepermainan kanak-kanak bagi menyelami peribadi mereka serta mewujudkan rasa hormat dan bertanggungjawab mereka kepada anda selaku ibu bapa / penjaga.
  • Jauhi individu yang sentiasa menyebelahi atau menyembunyikan kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak. Ini kerana individu ini boleh mempengaruhi kanak-kanak melakukan perkara yang tidak baik secara sembunyi dan memungkinkan kanak-kanak dipengaruhi untuk melakukan perkara yang tidak baik untuk mereka.
  • Sentiasa periksa kanak-kanak selepas interaksi.  Ibu bapa / penjaga boleh melakukan pemeriksaan fizikal dan mental terhadap kanak-kanak secara spontan.  Contohnya selepas kanak-kanak balik dari sekolah atau selesai bermain bersama rakan-rakan, ibu bapa / penjaga boleh melakukan pemeriksaan fizikal ketika memandikan mereka.  Cuba berbual secara santai bagi mengetahui dengan siapa mereka bermain, di mana dan sebagainya.  Perhatikan jika ada perubahan fizikal, emosi atau sikap yang di luar kebiasaan.
Semoga dengan perkongsian ini akan dapat membantu ibu bapa dan penjaga dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terpelihara, InShaaAllah :-)