12 May 2013

Memilih Al-Fatih

Cita-cita yang besar boleh 'mengecilkan' masalah yang dihadapi. Perjuangan yang susah akan menjadi mudah apabila diharungi dengan jiwa yang tabah. Inilah kaedah yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W. apabila berdepan dengan detik-detik kritikal dalam perjuangannya menegakkan agama Allah.

Ketika para sahabat dihimpit kelaparan, dikepung musuh yang ramai dan sewaktu menggali parit yang dalam sewaktu perang Khandaq, Rasulullah S.A.W. menjanjikan syurga dan keampunan untuk orang Muhajirin dan Ansar. Cita-cita untuk mendapat nikmat akhirat yang lebih baik dan lebih kekal menyebabkan mereka rela mengorbankan nikmat dunia yang sedikit dan sementara.

Di Khandaq itulah juga hadis tentang pembebasan kota Contantinople diucapkan oleh Rasulullah S.A.W. Bayangkan ketika musuh yang besar bakal mengamuk, Rasulullah S.A.W. menjanjikan musuh yang lebih besar akan tunduk. Menurut Baginda, bukan hanya kafir Musyrikin daripada bangsa Arab itu akan dikalahkan, malah "super power" kerajaan Kristian Timur Byzantium yang tersohor ketika itu pun akan ditewaskan.

Itulah cita-cita besar yang disematkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menyalakan roh jihad para sahabat. Impaknya, kelaparan, ketakutan dan kebimbangan dapat ditangani kerana jiwa sudah dibesarkan oleh cita-cita dan keyakinan yang tinggi. Namun, sabda Rasulullah S.A.W. bukan angan-angan kosong atau imaginasi yang bersifat ilusi, tetapi Baginda ialah sadiq al-masduq (benar lagi dibenarkan). 800 tahun kemudian, Sultan Muhammad Al-Fatih muncul membenarkan hadis tersebut.

Orang yang hebat bukan sahaja mengakui kebenaran hadis, tetapi berusaha untuk menjadi orang yang membuktikan kebenarannya. Inilah yang dilakukan oleh para pemimpin Islam; bermula dari Mu'awiyah, diikuti oleh anaknya Yazid, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, Harun al-Rashid, Alp Arslan, Sultan Beyazid, Sultan Murad dan akhirnya kebenaran hadis tentang pembebasan kota Contantinople terlaksana di tangan Sultan Muhammad Al-Fatih.

Muhammad Al-Fatih berjaya merealisasikannya kerana Baginda mempunyai keinginan yang membara dan sanggup "membayar harga" untuk mencapai cita-cita besarnya. Hati, akal, perasaan dan seluruh fizikalnya difokuskan untuk menjadi raja yang baik seperti yang disabdakan oleh kekasihnya; Muhammad S.A.W.

Marilah kita meneladani Al-Fatih dengan peribadi yang sewajarnya menjadi ikon dalam memimpin diri dan orang lain. Marilah menyusuri rahsia tersirat di sebalik sejarah kemenangannya. Bukan sekadar membaca fakta dan data, tetapi untuk dirasai dan dijiwai semangatnya.

Nukilan : Pahrol Mohamad Juoi