02 February 2014

Gelak pelik


Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu, saya mengambil cuti pada hari Khamis untuk pulang ke kampung halaman isteri tercinta di Batu Pahat, Johor.  Kami bertolak selepas saya pulang dari pejabat pada hari Rabu.  Alhamdulillah perjalanan kami selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini walaupun kami tersesat jalan ketika mengarah ke Segamat dari Bera.  Mungkin disebabkan sudah lebih 7 bulan tidak menggunakan laluan berkenaan kerana saya menghadiri kursus di Terengganu serta jalan yang baru dinaiktaraf dan belum dipasang lampu jalan mengakibatkan saya terleka lalu terlepas simpang yang betul.  Mujurlah anak saya, Sarah cepat menyesuaikan diri dengan car seat yang baru pertama kali digunakan jadi isteri saya yang sedang sarat mengandung dapat duduk selesa di sebelahnya.  

Pada suatu pagi saya keluar ke pekan berhampiran untuk mengeluarkan wang dan memindahkan wang ke akaun pemilik rumah sewa.  Suasana di pekan Rengit pada pagi itu damai seperti biasa.  Kelihatan beberapa peniaga kecil menjual sarapan pagi dan warung-warung serta kedai runcit dipenuhi pelanggan yang menikmati roti canai dan membeli barang keperluan.  Saya terfikir untuk singgah membeli akhbar namun entah kenapa ketika lalu di hadapan kedai runcit hajat itu saya batalkan, mungkin kerana membeli akhbar bukan matlamat sebenar saya keluar ke pekan.  Jadi saya teruskan perjalanan dan berhenti di hadapan bank yang cuma 100 meter dari kedai runcit.

Setelah selesai mengeluarkan wang saya cuba untuk membuat pindahan ke akaun CIMB pemilik rumah.  Puas dicuba namun tetap tidak berjaya.  Rupa-rupanya CIMB sedang dalam proses menaiktaraf sistem perbankan mereka yang khabarnya akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta memudahkan pelbagai urusan pelanggan.  Tahniah kepada CIMB dan good luck kepada pelanggan yang akan menerima nombor akaun baru selepas ini.

Apabila saya menolak pintu bank untuk keluar, saya ternampak seorang pemuda yang baru tiba dan ingin masuk ke dalam bank jadi saya menahan pintu itu bagi memudahkan dia masuk.  Dia sekadar tersenyum sebagai tanda terima kasih.  Apabila saya berjalan menuju ke parking tak semena-mena kedengaran dia ketawa.  

Saya musykil, "kenapa pula tiba-tiba ketawa?"

Saya pantas menoleh dan kelihatan pemuda itu berlari ke arah jalan sambil melambai-lambaikan tangan ke udara!  

Saya berbisik dalam hati, "ah, ini sudah pelik!"

Saya berdiri untuk memerhati lebih lanjut, risau juga dia melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang awam lain yang berada di situ.

Pemuda itu terus berlari sampai ke seberang jalan sambil tangannya terawang-awang di udara.  Matanya tak lepas memandang sesuatu yang kelihatan melayang-layang tinggi ditiup angin.  Jauh saya perhatikan dia mengejar objek terbang itu, berlari tanpa menoleh ke kiri atau kanan jalan, mujurlah tiada kenderaan lalu-lalang.  Semua mata yang memandang hairan dia tidak pedulikan.  

Tak lama melayang objek terbang itu jatuh di tengah jalan.  Lelaki itu pantas mengutipnya.  Sambil tersenyum dia berjalan menuju ke pintu bank dan di tangannya tergenggam kemas sekeping not RM50!

No comments:

Post a Comment

"Ramai orang takut menyuarakan keinginan mereka jadi mereka tidak pernah dapat apa yang mereka inginkan." (Madonna)