18 February 2014

Kanun Tanah Negara (KTN) : Pelupusan

Jam 2.30 petang semua peserta telah berada di dalam bilik Mini Theaterette untuk memulakan kursus.  Topik Pengenalan kepada Kanun Tanah Negara (KTN) : Pelupusan disampaikan oleh Ketua Bahagian Tanah (INSTUN), Tuan Mohd Sabli bin Bakri.

Berikut merupakan antara input-input yang sempat dikongsikan oleh beliau berkaitan topik Pelupusan Tanah menurut KTN 1965:
PBN = Pihak Berkuasa Negeri (PBN) berkuasa penuh ke atas tanah, galian, hutan dan air di dalam sesebuah negeri yang haknya belum dilupuskan dengan khususnya.

Pelupusan = apa-apa pelupusan tanah yang dibuat oleh PBN dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh S42 KTN atau kuasa-kuasa yang sama di bawah mana-mana undang-undang tanah terdahulu.  S5 KTN

Pemberimilikan = PBN boleh meluluskan pemberimilikan tanah kerajaan untuk tempoh tidak melebihi 99 tahun atau untuk tempoh selama-lamanya dengan syarat diminta oleh Kerajaan Persekutuan (Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan), digunakan untuk tujuan awam, atau terdapat keadaan-keadaan istimewa pada pandangan PBN (inpepertuity).  S76 KTN

Perizaban = PBN boleh merizabkan Tanah Kerajaan dan memberi pajakan tanah rizab dengan tempoh tidak melebihi 21 tahun.

LPS = PBN boleh mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) atas Tanah Kerajaan, tanah rizab dan tanah lombong.

Permit = PBN boleh mengeluarkan permit mengambil dan mengalih bahan batuan dari mana-mana tanah selain dari tanah rizab hutan, serta mengeluarkan permit penggunaan ruang udara atas Tanah Kerajaan atau tanah rizab.  S42(1) KTN

Sesi taklimat kursus dan ice breaking

Pagi tadi saya menghadapi masalah untuk bangun tidur, bukan kerana ditindih makhluk halus, tetapi kerana suasana subuh di sini sungguh sejuk dan mendinginkan.  Buka tingkap dan nampak kabus ibarat di Bukit Tinggi, sungguh menyegarkan!

Di dewan makan kami dihidangkan kuey teow goreng, roti bakar dan cornflakes.  Usai bersarapan kami berjalan ke Blok Akademik B memandangkan Bilik Mini Theaterette, tempat kursus kami berada di situ.  Walaupun namanya agak pelik tapi bilik ini sungguh selesa dan cantik.  Aircond pun sejuk.  Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar sewaktu sesi taklimat dan ice breaking.





Sesi ice breaking dimulakan dengan satu permainan bernama 1, 2, INSTUN!  Bagaimana cara permainannya biarlah rahsia.  Kemudian diikuti sesi pemilihan penghulu dan penghuluwati.  Saya telah dipilih sebagai penghulu dan Aishah sebagai penghuluwati.  Segan rasanya untuk memimpin peserta-peserta lain yang lebih senior dan berpengalaman dalam bidang tanah tetapi kepercayaan telah diberikan dan saya harus memberi yang terbaik, InShaaAllah.
Seterusnya kami dipecahkan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki mencipta logo dan moto kumpulan untuk dipersembahkan kepada urusetia.  




Seronok agaknya berdiri di depan ni, semua asyik senyum je. Hehehe :-)

Pengenalan : Kursus Khas Perundangan Tanah bagi Pentadbir Tanah

Alhamdulillah, saya selamat tiba di INSTUN pada jam 3.15 petang setelah hampir 5 jam memandu dari Kemaman, Terengganu.  Ini merupakan kunjungan pertama saya ke sini dan pengalaman melalui jalan berselekoh dari Genting Sempah ke Batang Kali melalui Genting Highlands memang mengujakan.  Mujur kenderaan tidak banyak dan cuaca cerah membantu saya melaluinya dengan selamat. 

INSTUN ini terletak di luar kawasan bandar tetapi tidak terlalu jauh.  Faktor jalan yang elok dan papan tanda yang jelas membantu saya tiba ke sini tanpa sebarang masalah.  Pengawal keselamatan pula ramah dan mudah menunjuk arah sekaligus memudahkan saya tiba di blok penginapan.  Setelah selesai mendaftar di kaunter pendaftaran saya menerima kunci dan terus menuju ke bilik untuk berehat.  

Perkara pertama yang membuatkan saya gembira adalah bilik saya terletak bersebelahan kolam renang dan dewan makan.  Selain itu kemudahan bilik tidur juga lengkap dengan katil bujang, almari pakaian, almari kasut, meja belajar, televisyen (astro), peti sejuk, sterika, sejadah dan tuala.  Mood berkursus boleh tukar jadi mood bercuti, memang terbaik!





Ok, let's get back to business.  Berikut merupakan maklumat kursus yang akan saya jalani di sini:


Nama Kursus : KURSUS KHAS PERUNDANGAN TANAH BAGI PENTADBIR TANAH BIL. 3
Bahagian : PENGURUSAN DAN PERUNDANGAN TANAH
Bidang : KPPT KHAS
Kumpulan Sasaran : PEGAWAI PTD BARU LEPASAN KURSUS DPA DI PENTADBIRAN SUK NEGERI

Tarikh Mula : 18/02/2014
Tarikh Tamat : 28/02/2014
Tarikh Tutup Permohonan : 04/02/2014

Bil. Peserta : 25
Tempat : INSTUN
Objektif : Memberi Pengetahuan dan Kemahiran Asas Serta Pemantapan Mengenai Aspek Pentadbiran dan Perundangan Tanah
Kandungan : 1. Sistem Pentadbiran dan Perundangan Tanah di Malaysia dan Pengenalan Kepada KTN 1965
2. Pelupusan Tanah
3. Bentuk Hakmilik, Klasifikasi, Kategori, Syarat dan Kepentingan Tanah
4. Urusniaga dan Halangan Urusniaga di bawah KTN 1965
5. Kesalahan – kesalahan di bawah KTN 1965
6. Pembangunan Tanah
7. Peranan dan Fungsi Penolong Pentadbir Tanah sebagai Majistret Kelas Kedua
8. Pengenalan kepada jenis – jenis Hasil Tanah
9. Perintah Jualan
10. Pengenalan kepada Enakmen Rizab Melayu
11. Pengenalan kepada Akta Pengambilan Tanah 1960
12. Akta Bekalan Elektrik 1990
13. Pengenalan kepada Pengukuran dan Pemetaan
14. Pengurusan Harta Pusaka di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955
15. Pengenalan kepada Penyitaan dan Perampasan
16. Pengenalan kepada e-Tanah
17. Pengenalan Kepada Enakmen Mineral Negeri
18. Pengenalan kepada e-Kadaster
19. Kawasan Penempatan Berkelompok di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960
20. Pengenalan Kepada Akta Hakmilik Strata 1985
Metodologi : Syarahan, Perbincangan, Kajian Kes dan Lawatan.


Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN)

Alhamdulillah, sejak 2 Januari 2014 saya telah bertukar bahagian iaitu dari Bahagian Pembangunan Luar Bandar ke Bahagian Pengurusan Tanah.  Setelah 3 tahun menguruskan pembangunan fizikal daerah yang melibatkan pelbagai skop projek seperti bina baru, baik pulih dan naik taraf serta lain-lain tugasan akhirnya saya berpeluang menimba pengalaman baru sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Unit Pendaftaran Tanah.

Memandangkan tugasan di Unit Pendaftaran Tanah melibatkan hal-hal pentadbiran dan perundangan maka saya disarankan mengikuti kursus yang berkaitan di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).  Seperti sudah sedia maklum JPA rupa-rupanya telah menyenaraikan nama saya untuk menghadiri Kursus Khas Perundangan Tanah Bagi Pentadbir Tanah di INSTUN pada 18 - 28 Februari 2014.  Saya akan kongsikan pengalaman kursus ini dalam Diari PTD, InShaaAllah, dan sebelum itu sedikit pengenalan tentang INSTUN yang terletak di Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan ini.

SEJARAH PENUBUHAN
Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ditubuhkan pada 1 Mei 1998, berikutan arahan daripada Jemaah Menteri pada 9 Julai 1997. Pada ketika itu, INSTUN terletak di bawah Pengurusan Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (KTPK). Dengan tertubuhnya institut ini, maka tugas melatih yang duhulunya dijalankan oleh Seksyen Latihan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JJKPTG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dikendalikan sepenuhnya oleh INSTUN.
           
Pada tahun 2004, INSTUN diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). INSTUN merupakan satu-satunya institusi latihan tunggal di Malaysia yang telah diberi mandat serta tanggungjawab untuk melatih kakitangan yang terlibat dalam urusan pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan.

VISI
Visi Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ialah ke arah institut latihan bertaraf dunia dalam bidang Pentadbiran Tanah, Ukur dan Pemetaan serta Teknologi Maklumat yang berkaitan.

MISI
Misi Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ialah untuk memaju dan membangunkan modal insan serta mewujudkan masyarakat berpengatahuan dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat melalui program latihan yang komprehensif, sistematik dan berkualiti serta penyediaan bahan rujukan untuk masyarakat umum.

DASAR
Dasar Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN) ialah mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran perkhidmatan awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan selaras dengan fungsi perkembangan teknologi terkini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

OBJEKTIF
Objektif Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ialah untuk meningkatkan kompetensi modal insan dalam Pentadbiran Tanah, Ukur dan Pemetaan serta Teknologi Maklumat melalui latihan yang sistematik dan terancang.

MOTO
"Mendahului Cabaran"


05 February 2014

Penyakit fizikal berpunca daripada jin?


Seseorang muslim perlu memahami perbezaan antara jin, syaitan dan iblis.  Allah menegaskan di dalam Al-Quran bahawa musuh manusia yang paling utama adalah syaitan.  Namun begitu jin juga kerap mencampuri urusan hidup manusia termasuklah dalam bab kesihatan.

Jin menggunakan kelebihan yang ada padanya iaitu tidak dapat dilihat oleh manusia sebagai senjata untuk mengganggu manusia.  Ada yang berada di luar tubuh mengganggu manusia dari luar seperti menjadikan manusia itu hodoh pada pandangan orang sekitarnya, menyucuk ekornya di bahu, kepala dan sebagainya.  Ada yang bertenggek beramai-ramai di bahu manusia sehingga manusia ini terasa seperti memikul sesuatu yang amat berat.  Tidak kurang juga yang menindih dan mencekik manusia.

Ada jin yang masuk ke dalam tubuh, bergerak melalui saluran darah dan akhirnya menyekat aliran darah ini daripada melalui organ-organ tertentu.  Jika ia berada di bahagian kepala, manusia akan merasa pening kerana kekurangan oksigen di bahagian berkenaan.

Menurut pengamatan saya, hampir 80 peratus penyakit fizikal adalah bermula daripada gerak kerja jin yang berada di luar dan dalam tubuh manusia.  Kajian saya terhadap penyakit lelah, kudis buta, darah tinggi, kencing manis, barah malah H1N1 ada kaitannya dengan serangan jin.

Dengan kata lain, seseorang yang ada pengetahuan tentang alam jin maka ia dapat mengawal dan merawat dirinya daripada terlalu mudah untuk diserang atau terkena penyakit.

Menurut Ibnu Taimiyah sepertimana yang dicatatkan oleh anak muridnya Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah bahawa jika ada 10 orang, maka 6 orang daripadanya ada mengalami gangguan jin.  Itu di zaman kegemilangan Islam.  Bagaimana sekarang, di saat kemungkaran yang berada di hujung jari sahaja, hiburan yang melampau-lampau, surau yang semakin kosong dan pengajian agama dilihat tiada masa depan; apakah angka ini mungkin berkurangan?

04 February 2014

Talk to the hand


Ini kisah benar.  Dulu saya merupakan penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) terkenal. Universiti saya terkenal bukan kerana senarai panjang graduan berkualiti yang dikeluarkannya tetapi kerana isu politik dan pelbagai kontroversi yang tak pernah lekang daripadanya.  Maklumlah universiti milik kerajaan negeri yang paling kaya di Malaysia, semua orang berebut dan ingin mengambil tahu.  Tambahan pula bilangan penuntutnya mencecah lebih 10,000 orang ketika itu.

Di situ saya mengambil jurusan pendidikan atau lebih tepat lagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Dengan Kepujian) TESL (Teaching English as Second Language).  Oleh kerana course ini merupakan antara yang terbaik dan terkenal maka jumlah pelajar yang mengikutinya agak ramai dan batch kami dipecahkan kepada beberapa kelas.  Ketua kelas saya yang kami panggil Dave merupakan seorang lelaki kurus, tinggi, berambut kerinting panjang dan berbangsa india. Di sepanjang tempoh pengajian dia telah memikat dan berjaya menawan hati seorang gadis india yang juga classmate kami, Shalu the soft-hearted girl.

Ketika waktu pembelajaran memang kami diwajibkan bertutur dalam bahasa inggeris.  Bagi pelajar yang berasal dari keluarga yang speaking memang tiada masalah, namun bagi kami yang lain ni memang skipping la jawabnya.  Dave dan Shalu antara kawan saya yang fasih speaking dan saya selalu menjadi pendengar setia ketika duduk berhampiran mereka.

Satu hari saya terdengar Dave dan Shalu berbincang sesuatu tentang tugasan mereka, mungkin tentang pembahagian tugas atau perkara lain yang saya sendiri kurang jelas mengenainya.  Saya sekadar memandang mereka yang berada di depan saya.  Shalu kelihatan membebel-bebel sambil menaip sesuatu di laptopnya.  Dave pula diam seperti sedang memikirkan sesuatu. 

Kemudian Shalu memandang dan berkata sesuatu kepada Dave.  Saya gagal menangkap butir percakapannya tetapi saya yakin Dave mendengar dengan jelas kerana tiba-tiba Dave bangun dan menunjukkan tapak tangannya kepada Shalu.

Dave : talk to the hand!

Saya terkejut dan rasa seperti ingin menggaru kepala kerana saya tertanya-tanya apa maksud talk to the hand?  Belum pernah saya jumpa ayat itu.  Yang saya faham adalah bercakap dengan tangan, tetapi janggal pula bunyinya.  Kenapa perlu bercakap dengan tangan sedangkan telinga bukan duduknya di situ?

Belum sempat saya bertanya kepada Dave tiba-tiba Shalu bersuara.....

Shalu : talk to the hand...talk to the hand...talk to the ass lah!

Hahaha...saya ketawa mendengar jawapan Shalu.  Lawak dan cute pula bila pasangan kekasih ni berlawan cakap.  Walaupun macam bertengkar tapi saya tahu masing-masing dalam hati ada taman.

Kini Dave dan Shalu telah berumahtangga dan mereka berkhidmat sebagai guru di Semporna, Sabah.  Walaupun jauh dari keluarga di semenanjung namun saya yakin mereka gembira dan bangga menabur bakti di sana walaupun pernah menempuh pengalaman mendengar bunyi tembakan dan bom ketika peristiwa Lahad Datu berlaku.  I'm proud of you guys!

Meaning of talk to the hand

03 February 2014

Keraniku jutawan

Jam 2.35 petang.  Sedang saya sibuk (konon!) di dalam bilik pejabat berhawa dingin tiba-tiba terdengar bunyi pintu diketuk.  Saya menoleh dan kelihatan Kak Pah, salah seorang kakitangan wanita di unit saya tersenyum-senyum di balik cermin pintu.  Kerana kesian (gurau je!) saya anggukkan kepala tanda mengizinkan dia masuk.

Dia : encik, tolong sign OT saya.
Saya : kenapa awak OT?
Dia : saya kena siapkan fail yang banyak tu, encik.
Saya : (sambil periksa tuntutan OT) dah siap semua?
Dia : eh, mestilah siap.  cuma surat je belum keluar.
Saya : ya lah tu!
Dia : encik tak keluar makan tengahari ke?
Saya : (dengan pantas) eh, mestilah keluar!

Rehat tengahari walaupun cuma sejam mesti dimanfaatkan sebaik-baiknya.  Bukan saya tak nak jadi rajin serta menunjukkan contoh kepada kakitangan lain tapi saya tak nak nanti disamakan dengan "pekerja rajin" di Mahkamah Tinggi Ipoh ni pula, kerja 18 bulan dah jadi jutawan!
__________________________________________________

Sepanjang tempoh 18 bulan, seorang kerani yang bekerja di Mahkamah Tinggi Ipoh menjadi contoh kepada semua kakitangan lain kerana dia tidak pernah keluar rehat makan tengah hari atau mengambil cuti tahunan.

Walau bagaimanapun, apabila juruaudit tiba untuk memeriksa buku-buku mahkamah tahun lalu, motif sebenar di sebalik komitmen dan usaha wanita berusia 35 tahun itu telah terbongkar.

Dia telah menggelapkan lebih RM1.5 juta wang mahkamah selepas dia diberi kepercayaan untuk mengumpul wang denda bagi kesalahan kecil dan salah laku.

Juruaudit telah membuat laporan polis dan kerani berkenaan telah digantung tugas sementara menunggu siasatan dijalankan.

Menurut polis, kerani itu merupakan seorang pekerja yang pendiam dan rajin, dia tidak pernah gagal hadir ke pejabat sejak April 2012 hingga September 2013.

Rakan-rakannya memberitahu polis bahawa dia tidak pernah meninggalkan meja kerja, walaupun semasa waktu rehat makan tengah hari dan kelihatan sangat rajin.

Tugas kerani berkenaan adalah mengumpul wang daripada pesalah-pesalah yang telah didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan denda.

Walaupun nilai denda kecil namun jumlah itu agak besar setelah dikumpul.

The Malaysian Insider diberitahu bahawa wanita itu akan mengambil antara RM1,000 dan RM2,000 sehari.

Dia mengeksploitasi " kelemahan " dalam sistem untuk membuat perubahan yang perlu dalam pangkalan data komputer mahkamah supaya angka berkenaan tidak muncul di dalam akaun.

Dia berjaya menyembunyikan aktiviti-aktiviti haram itu sehingga akhir tahun lalu apabila juruaudit tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memeriksa rekod-rekod mahkamah.

The Malaysian Insider difahamkan polis telah menemuramah kerani berkenaan dan kenyataan beliau
telah direkodkan.

Bagaimanapun, polis masih tidak menemui wang yang telah dicuri wanita berkenaan.
 


SUMBER

Tahun kuda laut

http://www.huffingtonpost.ca/2014/01/31/2014-chinese-new-year-photos_n_4701408.html

Sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini kumpulan penari di Indonesia menampilkan kelainan dengan aksi tarian naga dan duyung di dalam air.  Aquaria KLCC turut menyajikan persembahan yang serupa.  Pelik tapi unik.

Saya tiada saudara berbangsa cina.  Kawan cina ada tapi tak ramai sebab dulu saya belajar di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan agama. Cuma bila saya berpindah ke sekolah menengah kebangsaan barulah dapat kawan cina dan india.

Kelakar bila saya ingat balik saat-saat mula berkenalan dengan mereka.  Lepas masing-masing perkenalkan nama saya secara spontan berterus terang bahawa saya dah lama teringin nak ada kawan cina dan india.  Mereka ketawa walaupun hairan dengan kenyataan pelik saya. 

Seronok ada kawan berlainan bangsa ni sebab bila musim perayaan boleh saling ziarah-menziarahi.  Saya masih ingat lagi pengalaman tahun 2004 berkunjung ke rumah kawan cina di sebuah perkampungan nelayan.  Rumah dia rumah kedai kayu, kena masuk kedai dulu sampai ke belakang kemudian naik tangga, di atas baru ada ruang tamu, dapur dan bilik-bilik tidur.  Walaupun dia tak sediakan jamuan besar untuk tetamu yang datang tapi layanan yang diberikan memang terbaik.  Sedihnya sekarang kami dah lost contact.  Untuk semua kawan cina saya:

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2014 :-)

02 February 2014

Gelak pelik


Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu, saya mengambil cuti pada hari Khamis untuk pulang ke kampung halaman isteri tercinta di Batu Pahat, Johor.  Kami bertolak selepas saya pulang dari pejabat pada hari Rabu.  Alhamdulillah perjalanan kami selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini walaupun kami tersesat jalan ketika mengarah ke Segamat dari Bera.  Mungkin disebabkan sudah lebih 7 bulan tidak menggunakan laluan berkenaan kerana saya menghadiri kursus di Terengganu serta jalan yang baru dinaiktaraf dan belum dipasang lampu jalan mengakibatkan saya terleka lalu terlepas simpang yang betul.  Mujurlah anak saya, Sarah cepat menyesuaikan diri dengan car seat yang baru pertama kali digunakan jadi isteri saya yang sedang sarat mengandung dapat duduk selesa di sebelahnya.  

Pada suatu pagi saya keluar ke pekan berhampiran untuk mengeluarkan wang dan memindahkan wang ke akaun pemilik rumah sewa.  Suasana di pekan Rengit pada pagi itu damai seperti biasa.  Kelihatan beberapa peniaga kecil menjual sarapan pagi dan warung-warung serta kedai runcit dipenuhi pelanggan yang menikmati roti canai dan membeli barang keperluan.  Saya terfikir untuk singgah membeli akhbar namun entah kenapa ketika lalu di hadapan kedai runcit hajat itu saya batalkan, mungkin kerana membeli akhbar bukan matlamat sebenar saya keluar ke pekan.  Jadi saya teruskan perjalanan dan berhenti di hadapan bank yang cuma 100 meter dari kedai runcit.

Setelah selesai mengeluarkan wang saya cuba untuk membuat pindahan ke akaun CIMB pemilik rumah.  Puas dicuba namun tetap tidak berjaya.  Rupa-rupanya CIMB sedang dalam proses menaiktaraf sistem perbankan mereka yang khabarnya akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta memudahkan pelbagai urusan pelanggan.  Tahniah kepada CIMB dan good luck kepada pelanggan yang akan menerima nombor akaun baru selepas ini.

Apabila saya menolak pintu bank untuk keluar, saya ternampak seorang pemuda yang baru tiba dan ingin masuk ke dalam bank jadi saya menahan pintu itu bagi memudahkan dia masuk.  Dia sekadar tersenyum sebagai tanda terima kasih.  Apabila saya berjalan menuju ke parking tak semena-mena kedengaran dia ketawa.  

Saya musykil, "kenapa pula tiba-tiba ketawa?"

Saya pantas menoleh dan kelihatan pemuda itu berlari ke arah jalan sambil melambai-lambaikan tangan ke udara!  

Saya berbisik dalam hati, "ah, ini sudah pelik!"

Saya berdiri untuk memerhati lebih lanjut, risau juga dia melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang awam lain yang berada di situ.

Pemuda itu terus berlari sampai ke seberang jalan sambil tangannya terawang-awang di udara.  Matanya tak lepas memandang sesuatu yang kelihatan melayang-layang tinggi ditiup angin.  Jauh saya perhatikan dia mengejar objek terbang itu, berlari tanpa menoleh ke kiri atau kanan jalan, mujurlah tiada kenderaan lalu-lalang.  Semua mata yang memandang hairan dia tidak pedulikan.  

Tak lama melayang objek terbang itu jatuh di tengah jalan.  Lelaki itu pantas mengutipnya.  Sambil tersenyum dia berjalan menuju ke pintu bank dan di tangannya tergenggam kemas sekeping not RM50!

01 February 2014

Maharaja malas

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah negeri yang rakyatnya sangat rajin dan tiada seorang pun yang mengaku pemalas.  Kemudian timbul idea si raja untuk mengadakan pertandingan bagi mencari siapakah orang yang malas di dalam negerinya.  Maka berhimpunlah seluruh rakyat di perkarangan istana untuk menyaksikan pertandingan tersebut.  Gonggggg....bunyi gong dipalu dan pertandingan pun bermula!

Peserta pertama : tuanku, patiklah rakyat yang malas!
Raja : kenapa kamu rasa begitu?
Peserta pertama : kerana patik hanya makan bila disuap, tuanku.

Seterusnya peserta kedua mengambil tempat.  Kelihatan gayanya seperti tidak mahu kalah.  Sambil mendabik dada dia berkata..... 

Peserta kedua : tuanku, patiklah rakyat yang lebih malas!!
Raja : kenapa pula kamu rasa begitu?
Peserta kedua : kerana makanan patik pun orang lain tolong kunyahkan, tuanku.

Pening si raja memikirkan siapakah antara kedua-dua peserta itu yang layak digelar juara.  Puas ditimbang-timbang oleh si raja sambil dibantu bendahara namun keputusannya masih buntu.  Tiba-tiba seorang budak naik ke pentas.

Budak : tuanku, patiklah rakyat yang paling malas!!!
Raja : kenapa kamu rasa begitu wahai budak?
Budak : patik nak cakap pun malas, tuanku.